DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA HAMPIR TIDAK BERUBAH

15/05/2025 10:32 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah pada Khamis dalam persekitaran reaksi bercampur-campur terhadap prestasi semalaman Wall Street dan para pelabur menunggu keputusan pendapatan korporat. 

Pada pukul 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.84 mata atau 0.05 peratus kepada 1,584.35 daripada 1,583.51 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 0.76 mata lebih rendah kepada 1,582.75.

Sementara itu, bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 249 berbanding 147 manakala 322 kaunter kekal tidak berubah, 1,676 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 295.83 juta unit bernilai RM122.6 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur apabila pemain pasaran Amerika Syarikat (AS) mengalihkan tumpuan mereka kepada hasil pendapatan terutamanya daripada syarikat teknologi besar yang membantu menyokong Nasdaq.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI mungkin menyaksikan beberapa aktiviti belian semasa harga rendah yang berterusan terutamanya oleh dana asing seperti digambarkan daripada aliran masuk asing bersih hampir RM935 juta sejak dua hari lepas.

“Sehubungan itu, kami percaya indeks itu mungkin menguji semula paras rintangan psikologi pada 1,600 dan menjangkakan ia berlegar dalam julat 1,580-1,590 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.16, Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM4.53 dan RM7.06, CIMB jatuh satu sen kepada RM7.23 dan Tenaga Nasional meningkat lapan sen kepada RM14.38.

Bagi saham aktif, Sapura Energy tidak berubah pada 4.5 sen, Harvest Miracle menambah satu sen kepada 18.5 sen, SPP Tech menokok 1.5 sen kepada 25 sen, Aemulus naik 3.5 sen kepada 30 sen dan MAG menambah 0.5 sen kepada 19.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 14.82 mata kepada 11,851.15, Indeks FBMT 100 naik 15.58 mata kepada 11,602.69, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 34.18 mata kepada 11,805.23, Indeks FBM 70 menokok 60.28 mata kepada 16,933.19 dan Indeks FBM ACE menambah 27.75 mata kepada 4,818.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 12.89 mata kepada 18,559.90, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.49 mata kepada 161.38, Indeks Perladangan menokok 9.51 mata kepada 7,366.91, bagaimanapun Indeks Tenaga turun 2.26 mata kepada 741.10.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan