EKONOMI

ASEAN RUNDING PERLUAS KEAHLIAN RCEP, CPTPP UNTUK PERKUKUH PERDAGANGAN SERANTAU

15/05/2025 05:58 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) - ASEAN sedang merundingkan langkah-langkah untuk mengembangkan keahlian dalam dua perjanjian perdagangan utama iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Iangkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Menteri ASEAN bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Jeju, Korea Selatan.

“Antara perkara yang dirundingkan hari ini termasuk (langkah-langkah) pengembangan keahlian RCEP dan CPTPP,” katanya kepada Bernama. 

Setakat ini hanya empat negara ASEAN merupakan ahli CPTPP iaitu Brunei, Malaysia, Singapura dan Vietnam. 

Tengku Zafrul berkata pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini memberi impak ketara ke atas dinamik perdagangan intra-ASEAN dan juga dengan rakan-rakan dagangnya, terutamanya dalam sektor terangkum ke dalam rantaian bekalan global. 

Menurutnya, prinsip neutral dan berkecuali yang diamalkan ASEAN membolehkan rantau itu menyuarakan pendirian secara bebas dalam forum seperti APEC, yang disifatkannya sebagai platform penting bagi menyampaikan kebimbangan dan kepentingan rantau kelima terbesar ekonomi dunia itu.

Dalam mesyuarat tersebut, katanya, ASEAN juga sebulat suara menegaskan pendirian untuk mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala serta menolak sebarang bentuk unilateralisme.

“Kita perlu tegas dalam menegakkan multilateralisme sebagai teras utama Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau,” katanya.

Sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama serantau, Tengku Zafrul berkata ASEAN turut merancang untuk mengadakan sesi konsultasi khas bersama rakan dagang utama bermula dengan China dan Jepun.

Beliau berkata sesi Konsultasi Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM)-MOFCOM (Kementerian Perdagangan Luar) Perundingan China dan AEM-METI (Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun) akan diadakan pada 20 Mei ini.

Dalam pada itu, katanya, ASEAN perlu mengambil pendekatan bersama dan bersuara secara kolektif semasa MRT APEC, terutamanya dalam menangani isu seperti tarif global. 

“Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadikan Kepengerusian ASEAN pada tahun ini sebagai tahun penentu bagi integrasi ekonomi ASEAN secara lebih mendalam,” katanya. 

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan