Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Jenama penjagaan bayi premium, Hegen, meraikan nilai-nilai keibuan dalam pelbagai bentuk termasuk wanita yang berusaha ingin menimang cahaya mata, ibu hamil dan para ibu bapa kepada anak kecil, dalam satu acara yang diadakan di IOI City Mall, di sini dari 14 hingga 18 Mei.
Bertemakan Hegen Celebrates Motherhood, acara itu menandakan ulang tahun ke-10 jenama berkenaan dan bertujuan melangkaui konsep pameran bayi biasa dengan menyediakan ruang kepada ibu untuk merasai sokongan, pengiktirafan dan diraikan.
Pengurus Produk Hegen Malaysia Chloe Lee Wan Zin berkata acara lima hari ini menawarkan pengalaman khusus buat seisi keluarga merangkumi permainan interaktif, zon kesihatan, promosi produk dan sudut khas, untuk melihat lebih dekat dengan produk jenama itu.
"Kami menjemput para ibu untuk singgah, merasai sendiri pengalaman bagaimana Hegen dapat membantu memudahkan perjalanan keibuan dan keibubapaan mereka serta terdapat banyak aktiviti menarik, seperti pickleball dan kerusi urut untuk memanjakan ibu-ibu.
"Kami turut meraikan setiap fasa keibuan. Selain ibu mengandung atau yang sudah bergelar ibu, kami juga ingin meraikan mereka yang masih berusaha untuk hamil, mereka yang berdepan cabaran. Jadi, terdapat kumpulan besar yang memerlukan sokongan kami," kata Lee kepada Bernama ketika ditemui pada acara itu hari ini.
Beliau berkata acara itu juga menyediakan peluang terhad kepada ibu bapa untuk menukar botol susu bayi yang lama kepada botol Hegen pada harga diskaun.
"Program pertukaran ini amat eksklusif, kami hanya menganjurkannya sekali atau dua kali setahun. Anda boleh membawa botol susu lama, tidak kira jenama dan jenis bahan dan tukarkannya dengan kami untuk mendapatkan botol baharu jenama Hegen dengan potongan harga," katanya.
Pengunjung turut berpeluang membeli produk bayi terbaharu Hegen termasuk set makan dan botol minuman eksklusif edisi prapelancaran yang belum dijual di mana-mana tempat lagi.
"Saiz baharu ditingkatkan daripada 330 milimeter (ml) sebelum ini kepada 450 ml dan pengunjung boleh mendapatkannya secara eksklusif di sini sebelum dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Jun," katanya.
Hegen ialah jenama berpangkalan di Singapura dan diasaskan pada 2015 oleh ibu kepada empat anak, Yvon Bock, pakar dalam penyelesaian penyusuan bayi inovatif yang direka untuk memudahkan proses penyusuan susu ibu dan penggunaan botol susu.
Dengan penekanan kepada kemampanan dan kualiti, produk Hegen direka untuk menyelaraskan proses mengepam, menyimpan dan penyusuan susu ibu.
-- BERNAMA