KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Cadangan mengekalkan pembayaran bulanan bagi Lantikan Tetap Bercarum di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), dapat mengelak pesara menjadi mangsa penipuan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata cadangan itu juga, dapat memastikan simpanan hari tua pesara diurus dengan lebih efisien.
“Berdasarkan simulasi bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka yang masuk gred 1 pada umur 20 tahun, pencen umur 60 tahun, dah kerja 40 tahun, simpanan dia ialah RM1.36 juta.
“Saya sedang draftkan mereka (yang bersara secara Lantikan Tetap Bercarum) juga boleh terima bulanan sebagaimana orang pencen, memang dah ada persetujuan KWSP dan MOF.
“Katalah setahun keperluannya mungkin dalam RM25,000 dan selebihnya simpanan itu akan dilaburkan balik dalam KWSP, yang dia akan terima dividen pada akhir tahun. Saya percaya ia sangat menarik,” katanya pada sidang media selepas Program Bicara Figura : Menelusuri Aspirasi Memaknai Reformasi, di bangunan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), di sini hari ini.
Selain itu, Wan Ahmad Dahlan berkata konsep kaedah Lantikan Tetap Bercarum di SSPA, akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penelitian pada Oktober ini.
Beliau berkata kajian berkaitan pelaksanaan Lantikan Tetap Bercarum itu kini pada peringkat untuk dimuktamadkan oleh Perdana Menteri, sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan.
“Saya dah bentangkan kali pertama pada Perdana Menteri dari segi konsepnya, apa yang mungkin kita bawa dalam kaedah lantikan tetap pencarum.
“Pada Oktober saya akan bentangkan yang final dan perkara ini masih lagi perlu dibawa ke Jemaah Menteri, Parlimen dan sebagainya, kerana kita hendak berpindah daripada lantikan tetap berpencen yang ada dalam perlembagaan, ada akta-aktanya kepada satu sistem baharu,” katanya.
Anwar sebelum ini berkata kerajaan sedang meneliti kaedah baharu lantikan tetap dan bercarum dan menjalankan kajian terperinci, bagi menentukan strategi terbaik bagi kerajaan dan pegawai awam lantikan baharu.
Program Bicara Figura, sebuah inisiatif strategik anjuran RISDA yang dirangka sebagai medan inspirasi dan perkongsian berimpak tinggi oleh tokoh-tokoh unggul dalam sektor awam dan pembangunan organisasi.
Penganjuran program ini memberi tumpuan kepada penghayatan nilai kepimpinan, akauntabiliti, inovasi serta budaya kerja cemerlang dalam mendepani cabaran pengurusan dan penyampaian perkhidmatan masa kini.
-- BERNAMA