KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melancarkan kaji selidik berskala nasional sebagai sebahagian daripada Kajian Semula Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital yang dijalankan di bawah seksyen 11 Akta Persaingan 2010.
Kajian pasaran yang bermula pada Julai 2024 hingga Disember 2025 itu bertujuan untuk menilai struktur pasaran dan dinamik persaingan merentasi lima subsektor kritikal yang menjadi tulang belakang pasaran digital di Malaysia.
Lima subsektor tersebut ialah pengendalian mudah alih dan sistem pembayaran; pasaran runcit e-dagang; perkhidmatan pengiklanan digital; agensi pelancongan dalam talian dan privasi dan perlindungan data (analisis rentas sektor).
Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata kajian ini adalah langkah penting merungkai isu-isu tersembunyi yang berlaku dalam pasaran digital.
“Pengguna dan perniagaan semakin bergantung kepada platform digital global yang dominan melalui kecekapan teknologi dan inovasi mereka.
"Namun, di sebalik kemudahan ini, tersembunyi rangkaian cabaran pasaran, halangan persaingan, dan batasan peraturan yang secara senyap membentuk dinamik industri," katanya.
MyCC menyeru semua pengguna, perniagaan, dan pihak-pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik ini dan berkongsi pandangan mengenai perkhidmatan digital yang digunakan.
"Dengan pengaruh platform digital yang semakin meluas, MyCC berusaha untuk memastikan pertumbuhan ini tidak akan menjejaskan persaingan sihat, ketelusan, serta peluang untuk peniaga-peniaga tempatan berkembang dan bersaing secara adil," kata kenyataan itu.
Maklumat lanjut berhubung kaji selidik tersebut boleh didapati dengan layari https://survey.getvase.com/p/xs-53dfb122-9d76-45bc-945b-2630d1fdd5f2 bermula 7 Mei hingga 6 Jun, 2025.
-- BERNAMA