MARANG, 15 Mei (Bernama) -- Polis Marang berjaya menumpaskan kumpulan ‘Geng Apan Sungai Petani’ yang aktif mencuri kabel telekomunikasi di beberapa negeri sejak 2014, dengan penahanan kesemua 12 ahlinya di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Marang Supt Mohd Sofian Redzuan berkata kesemua lelaki yang berasal dari Kedah dan Pulau Pinang berusia antara 22 hingga 43 tahun itu ditahan di sebuah rumah inap di Kampung Baru Rhu Muda di sini pada 10 pagi, 8 Mei lepas.
Beliau berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Marang dengan kerjasama pasukan dari IPD Machang, Kelantan yang menjalankan pemerhatian sejak 5.30 pagi hari tersebut di Jalan Kampung Sungai Kerak di sini.
“Semasa pemantauan dijalankan, polis mengesan Perodua Alza dan Perodua Axia yang dinaiki sekumpulan lelaki dipercayai sedang mencuri kabel di bawah tanah milik sebuah syarikat telekomunikasi.
“Suspek dilihat memotong kabel-kabel tersebut sebelum mengangkatnya ke dalam kenderaan dan meninggalkan lokasi kejadian. Kedua-dua kenderaan itu kemudian diekori sehingga tiba di sebuah rumah inap di Kampung Baru Rhu Muda,” katanya dalam sidang media di sini.
Mohd Sofian berkata serbuan itu membawa kepada rampasan dua kereta tersebut yang disewa, dua batang anak kunci, sebuah topi keselamatan, empat helai baju pemantul cahaya, tukul besi dan lebih 200 batang kabel yang dipercayai dicuri bernilai sekitar RM20,000.
Katanya ujian saringan air kencing mendapati 10 suspek positif dadah jenis Methaphetamine dan semua 12 suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah.
“Dipercayai ahli kumpulan ini telah melakukan 14 aktiviti mencuri kabel telekomunikasi bawah tanah dalam skala besar iaitu sebanyak lima di Kedah, empat Pulau Pinang, tiga di Perlis dan masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu. Kita juga percaya banyak lagi kecurian berskala kecil dilakukan mereka,” katanya.
Beliau menambah, selain menyamar sebagai pekerja kontraktor syarikat telekomunikasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan penduduk setempat, setiap ahli di dalam kumpulan mempunyai peranan khusus dalam aktiviti jenayah tersebut.
“Kebanyakan ahli geng ini merupakan mekanik yang bekerja sendiri dan seorang daripada mereka bekerja dalam sektor minyak dan gas manakala seorang lagi merupakan bekas pekerja sub-kontraktor di bawah sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya sambil menyatakan kesemua suspek didakwa di Mahkamah Majistret Marang hari ini di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
-- BERNAMA