AM

UDA PERKASA LEBIH 5,000 KOMUNITI LUAR BANDAR DI TAWAU

15/05/2025 09:12 PM

TAWAU, 15 Mei (Bernama) -- Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan termasuk hospitaliti, UDA Holdings Berhad (UDA) memperkasakan lebih 5,000 komuniti luar bandar di Pulau Sebatik di sini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares-Project RE_.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Johari Shukri Jamil berkata inisiatif itu membabitkan kerja-kerja membaik pulih gelanggang futsal dan perpustakaan desa selain pemasangan 10 lampu solar masing-masing empat di gelanggang futsal, dua di pos kawalan Jabatan Sukarelawan (Rela) dan empat lagi di jeti Kampung Mentadak Baru.

"Program CSR UDA Cares - Project RE_ antara usaha berterusan syarikat dalam menyantuni dan memperkasakan komuniti melalui program kemasyarakatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan CSR itu dilaksana melalui Program Satelit CSR Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sempena Program MADANI Rakyat 2025 Sabah yang berlangsung tiga hari dan berakhir 11 Mei lepas.

Johari Shukri berharap inisiatif itu turut dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat terutama anak muda, sekali gus mewujudkan persekitaran positif.

Beliau berkata inisiatif berkenaan selari dengan penjenamaan UDA iaitu L.I.F.E atau Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasakan).

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan