JENAYAH & MAHKAMAH

KES CULIK: POLIS TAHAN SUAMI PAMELA LING

15/05/2025 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Polis menahan suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh yang disyaki antara suspek kes penculikan wanita itu di ibu negara, awal pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya telah membawa suspek ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman, namun permohonan itu ditolak.

“Ketika ini suspek masih dalam tahanan untuk membantu siasatan berhubung kes penculikan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi sebelum ini berkata polis kemungkinan akan merekodkan keterangan tiga anak Pamela serta beberapa individu lain di Singapura bagi membantu siasatan.

Pada 9 April lepas Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.

Polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang, pada hari yang sama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan