KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kalangan firma penyelidikan menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 dan 4.6 peratus daripada 4.4 peratus sebelum ini bagi suku pertama 2025, menjelang pengumuman rasmi Jumaat ini.
Menurut Maybank Investment Bank Bhd, kenaikan ini disokong oleh pertumbuhan sederhana sektor perkhidmatan sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun berbanding 5.2 peratus dan sektor pertanian (0.8 peratus tahun ke tahun).
"Penyusutan yang lebih kecil dalam sektor perlombongan dijangka pada kadar -3.2 peratus tahun ke tahun manakala pertumbuhan sektor pembinaan dan pembuatan dijangka lebih perlahan, masing-masing pada 13.9 peratus dan 4.2 peratus,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikan.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) turut mengemaskini unjuran pertumbuhan KDNK bagi suku pertama 2025 kepada 4.5 peratus tahun ke tahun, melebihi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia sebanyak 4.4 peratus.
Ini disokong oleh pertumbuhan yang berterusan walaupun sederhana dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
HLIB juga mengekalkan jangkaan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 4.0 peratus tahun ke tahun sepanjang 2025, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, pertumbuhan guna tenaga dan upah, serta langkah-langkah dasar fiskal yang menyokong.
“Walaupun Amerika Syarikat (AS) telah memulakan penangguhan tarif terhadap rakan dagangnya termasuk Malaysia dan China, kadar tarif yang masih tinggi berbanding tahun lepas serta ketidaktentuan dasar perdagangan boleh menyebabkan kalangan syarikat bersikap lebih berhati-hati dalam merancang pelaburan dan pengambilan pekerja,” katanya.
Seiring dengan pandangan HLIB, CIMB Investment Bank Bhd juga menjangkakan pertumbuhan KDNK suku pertama 2025 sebanyak 4.5 peratus, dipacu oleh pertumbuhan yang perlahan dalam sektor pembinaan sebanyak 16.6 peratus tahun ke tahun berbanding 23.1 peratus pada suku keempat 2024 dan pengeluaran industri yang semakin perlahan (2.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada suku keempat 2024).
“Pertumbuhan suku tahunan dalam volum perdagangan borong dan runcit kekal stabil pada kadar 4.3 peratus tahun ketahun dalam suku pertama 2025 (suku keempat 2024: 4.4 peratus).
"Namun pertumbuhan keseluruhan sektor perkhidmatan mencatatkan penurunan kepada 5.3 peratus (suku keempat 2024: 6.1 peratus), terkesan oleh pertumbuhan yang perlahan dalam subsektor makanan dan minuman, kewangan dan insurans, maklumat dan komunikasi, pendidikan swasta, penjagaan kesihatan, serta rekreasi,” menurut CIMB.
CIMB turut berkata ketidaktentuan dasar perdagangan AS dan ketegangan AS-China terus membayangi prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Ia berkata penangguhan 90 hari tarif timbal balas memberikan sedikit kelegaan kepada negara yang tidak membalas tindakan tersebut seperti Malaysia, dengan aktiviti eksport, khususnya barangan pembuatan.
“Namun begitu, ketidaktentuan yang berpanjangan mungkin akan menjejaskan pelaburan modal dan rancangan pengambilan pekerja, sekali gus melambatkan momentum pertumbuhan.
"Kami mengekalkan unjuran tahun penuh KDNK sebanyak 4.0 peratus, mengambil kira risiko permintaan luaran yang lemah serta kesan limpahan negatif terhadap ekonomi domestik,” kata CIMB.
Bagaimanapun, bank itu menyatakan pertumbuhan berpotensi meningkat sekiranya Malaysia dan AS mencapai perjanjian perdagangan dalam tempoh 90 hari tersebut, di tengah-tengah kemajuan positif dalam rundingan AS-China dan AS-United Kingdom.
-- BERNAMA