PETALING JAYA, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia komited untuk memperkukuh peranan koperasi di rantau ini dan memastikan ia terus menjadi pemacu utama pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif serta mampan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata koperasi kini diiktiraf sebagai pemain utama dalam ekonomi khususnya sektor seperti pertanian, kewangan, pendidikan dan inovasi digital.
Sehubungan itu, Ramanan berkata Dialog Koperasi ASEAN 2025 (ACD2025) bukan sekadar dialog tetapi wawasan yang diperbaharui untuk ASEAN yang berdaya tahan, inklusif dan berpaksikan rakyat.
"Acara itu menandakan detik penting dalam menyelaraskan semula keutamaan serantau ke arah pertumbuhan yang mampan dan saksama terutamanya sempena 2025 diisytiharkan sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala ACD2025 di sini malam ini.
Turut hadir Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Diadakan di Sunway Resort Hotel selama dua hari bermula semalam, ACD2025 menghimpunkan pemimpin koperasi, penggubal dasar dan pihak berkepentingan dari seluruh ASEAN untuk berbincang mengenai usaha meningkatkan kerjasama serantau serta memperkasakan masyarakat menerusi gerakan koperasi.
Ramanan berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan memperjuangkan agenda koperasi sejajar dengan tema kepengerusian iaitu ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ dan rangka kerja MADANI di peringkat kebangsaan.
Beliau turut menekankan kepentingan Pelan Tindakan ASEAN untuk Koperasi yang selari dengan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan menjadi panduan dalam memajukan sektor itu di seluruh Asia Tenggara.
“Dengan menyelaraskan inisiatif koperasi kami dengan matlamat lebih luas AEC, kami memastikan koperasi Malaysia memainkan peranan penting dalam memacu keusahawanan tempatan dan mengurangkan ketaksamaan,” katanya.
Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) atas sokongan dan kerjasama mereka dalam memajukan agenda koperasi serantau.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penganjur Malaysia termasuk sekretariat utama ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) atas usaha gigih mereka dalam menjayakan ACD2025.
"Ini bukan pengakhiran tetapi permulaan era baharu bagi koperasi di ASEAN. Marilah kita bekerjasama untuk memastikan koperasi bukan sahaja peserta tetapi peneraju dalam membentuk ekonomi serantau," katanya.
Abdul Fattah pula berkata gerakan koperasi ASEAN tidak boleh lagi ketinggalan dalam perancangan ekonomi serantau dan harus diiktiraf sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi berasaskan kemanusiaan.
Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) itu berkata dialog tersebut berjaya mencapai beberapa resolusi penting untuk memajukan gerakan koperasi di peringkat serantau dan global.
Antara resolusi itu ialah peraturan rasmi ACO sebagai sekretariat rasmi untuk koperasi ASEAN, pembentukan Jawatankuasa ASEAN bagi Penggalakan dan Kemajuan Koperasi (COPAC@ASEAN) dan cadangan penubuhan kementerian atau badan kebangsaan yang berdedikasi di setiap negara ASEAN untuk menyelia pembangunan koperasi.
Beliau berkata resolusi yang meliputi bidang seperti pendidikan, transformasi digital, pembiayaan mampan dan pemerkasaan komuniti itu mencerminkan komitmen penuh gerakan koperasi untuk membina ASEAN yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Abdul Fattah turut mengumumkan pengenalan Institut Kepimpinan Koperasi ASEAN yang bertujuan membangunkan kepimpinan dan meningkatkan penyertaan belia, wanita serta kumpulan terpinggir dalam sektor itu.
-- BERNAMA