EKONOMI

INVENTORI MINYAK SAWIT MALAYSIA DIJANGKA NAIK 15 PERATUS PADA MEI 2025 -- CIMB SECURITIES

14/05/2025 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Stok simpanan minyak sawit Malaysia dijangka meningkat sebanyak 15 peratus bulan ke bulan pada Mei 2025 kepada 2.15 juta tan, dipacu oleh pengeluaran yang lebih tinggi, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

Firma pembrokeran saham itu juga mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) melonjak sebanyak empat peratus bulan ke bulan kepada 1.75 juta tan dan eksport minyak sawit naik sebanyak lapan peratus bulan ke bulan kepada 1.19 juta tan.

 “Bagaimanapun, menurut Intertek, eksport minyak sawit Malaysia menurun sebanyak sembilan peratus bulan ke bulan kepada 293,911 tan dalam 10 hari pertama Mei sekali gus mencerminkan permulaan yang perlahan pada bulan itu.

“Penurunan harga MSM sebanyak 22 peratus baru-baru ini kepada RM3,787 setiap tan daripada paras tertinggi RM4,835 setiap tan pada 2 April mencerminkan kebimbangan terhadap harga minyak mentah yang lebih lemah dan tarif import timbal balik sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia dan Indonesia.

"Hal ini menjadikan minyak sawit kurang berdaya saing di pasaran AS,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, harga isirung sawit juga kekal kukuh pada RM3,421 setiap tan mewakili 90 peratus daripada harga MSM dan menunjukkan kekurangan bekalan minyak kelapa.

Sehubungan itu, CIMB Securities menjangkakan harga MSM akan kekal dalam julat RM3,700 hingga RM4,000 setiap tan pada Mei memandangkan bekalan yang semakin meningkat.

Ia juga mengekalkan unjuran purata harga MSM sebanyak RM4,200 setiap tan bagi 2025, disokong oleh mandat biodiesel Indonesia dan peluasan terhad kawasan penanaman sawit.

Namun, ia menurunkan penarafan sektor perladangan kepada "neutral" susulan penurunan penarafan SD Guthrie kepada "pegang" baru-baru ini akibat kekurangan pemangkin jangka pendek dengan IOI Corp kekal sebagai pilihan "beli" dalam sektor itu.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dan Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) juga memberikan penarafan "neutral" kepada sektor berkenaan.

Maybank IB berkata anggaran awal eksport Malaysia untuk penghantaran dalam 10 hari pertama Mei 2025 oleh pemeriksa kargo bebas iaitu bercampur dengan Amspec menunjukkan sedikit peningkatan kepada 302,908 tan (naik satu peratus bulan ke bulan) manakala Intertek menunjukkan penguncupan sembilan peratus bulan ke bulan kepada 293,991 tan.

"Walaupun masih terlalu awal, anggaran eksport mutlak kelihatan lengang. Angka eksport Mei mungkin hanya satu juta tan. Pada kadar ini, stok minyak sawit Malaysia pada Mei mungkin mencecah paras psikologi dua juta tan," katanya.

Maybank IB berkata ia mengekalkan pendirian "neutral" terhadap sektor itu kerana harga semerta MSM semasa yang di bawah RM4,000 setiap tan dijangka kekal sehingga lewat suku ketiga susulan peningkatan bermusim dalam pengeluaran.

Oleh itu, ia mengekalkan unjuran harga RM4,000 setiap tan untuk 2025.

Sementara itu, Kenanga IB berkata pendapatan huluan mungkin mencapai kemuncaknya pada suku pertama 2025 atau suku sebelumnya manakala keterlihatan hiliran merosot disebabkan pengumuman tarif "Hari Pembebasan" Presiden AS Donald Trump.

"Anggapan harga MSM dan pendapatan kami untuk 2025 juga disemak turun. Namun, pendapatan yang disemak semula masih kelihatan aktif, disokong oleh harga MSM yang masih kukuh disebabkan kekurangan bekalan yang dijangka berlaku pada 2025 dan mungkin pada 2026," katanya.

Kenanga Research mengurangkan unjuran harga purata MSM 2025 daripada RM4,200 setiap tan kepada RM4,100 setiap tan sementara mengekalkan harga MSM 2026 pada RM4,000 setiap tan.

Ini disebabkan pemulihan premium harga minyak sawit berbanding kacang soya yang lebih cepat daripada yang dijangka pada April dan permintaan biodiesel yang lebih lemah disebabkan oleh harga minyak hidrokarbon yang lebih kompetitif susulan peningkatan pengeluaran OPEC+.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan