AM

25,000 DIJANGKA SERTAI PERARAKAN KERETA BERHIAS SEMPENA HARI WESAK

08/05/2025 11:16 PM

KUALA LUMPUR, May 8 (Bernama) -- Sekitar 25,000 penganut Buddha dijangka menyertai perarakan kereta berhias sempena sambutan Hari Wesak yang bermula dari Tokong Buddha Maha Vihara, Brickfields di sini, Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Wesak Bersama (JWCC) Ng Yong Pau berkata perarakan itu yang melibatkan kira-kira 30 buah kereta berhias akan bermula pukul 6 petang dari Jalan Berhala sebelum melalui laluan Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Petaling, Jalan Yap Ah Loy, Jalan Hang Lekiu, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan.

Perarakan dijangka mengambil masa kira-kira empat jam untuk melengkapkan perjalanan sejauh 12 kilometer sebelum kembali ke Tokong Maha Vihara melalui Jalan P Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Sultan Abdul Samad.

“Seramai 25,000 penganut dijangka berjalan bersama kereta berhias secara bergilir-gilir, tidak termasuk ribuan lagi yang akan berada di tepi jalan menunggu untuk menyaksikan perarakan ini. Tema sambutan tahun ini ialah ‘Empati dan Kebijaksanaan Asas Harmoni’,” katanya pada sidang media di sini malam ini.

Menurut Ng, laluan perarakan kali ini tidak lagi melalui Jalan Bukit Bintang seperti tahun-tahun terdahulu susulan perubahan arah aliran trafik sehala.

 

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dijangka menghadiri majlis pelancaran sambutan tersebut pada petang Isnin.

Selain perarakan, pihak tokong turut menganjurkan kempen derma darah serta menyediakan makanan percuma, di mana ribuan penganut dijangka hadir membawa persembahan seperti bunga, lilin dan colok.

Hari Wesak merupakan hari suci terpenting bagi penganut Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian Siddhartha Gautama, pengasas agama Buddha.

Sambutan itu biasanya diserikan dengan penyalaan colok dan lilin berbentuk teratai, menabur bunga serta upacara simbolik memandikan patung Buddha.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan