AM

SEMAKAN KADAR YURAN RUNDINGAN GP SWASTA DILAKSANA DALAM TEMPOH SEBULAN - DZULKEFLY

03/05/2025 04:53 PM

KUALA SELANGOR, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa semakan kadar yuran perundingan pegawai perubatan am (GP) swasta, akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata untuk itu, Memorandum Jemaah Menteri dan surat pekeliling telah disediakan, dan dijangka dibentangkan dalam tempoh yang sama.

“Saya telah menyiapkan Memorandum Jemaah Menteri dan pekeliling untuk perkara itu. Jadi saya mengharapkan akan menyelesaikan (semakan kadar yuran perundingan GP swasta) selewat-lewatnya satu bulan.

“Sejurus saya dah bentang dan dapat kelulusan (Jemaah Menteri), ia akan dilaksanakan kerana Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sudah setuju (bagi semakan yuran itu),” katanya kepada pemberita selepas Program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Tengah di sini hari ini.

Pada 13 Mac, Dzulkefly dilaporkan berkata kadar yuran perundingan bagi pengamal perubatan swasta yang disemak semula akan diumumkan sebelum 1 Mei.

Beliau berkata kelulusan sudah diperoleh untuk membuat kajian semula dengan segera yuran berkenaan, yang disenaraikan di bawah Jadual 7 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Sementara itu, Dzulkefly berkata kementerian tidak menghalang tindakan pengamal perubatan am untuk berarak ke Pejabat Perdana Menteri pada Selasa depan (6 Mei), sebagai membantah dasar mewajibkan pusat perubatan swasta mempamerkan harga perubatan kerana ia hak mereka.

“Saya yakin mereka akan lakukan secara sivil, madani dan saya sedia menerima apa-apa memorandum mereka.

“Saya tidak boleh halang, tapi jujurnya saya mahu mereka fahamilah apa yang kementerian kita, apa yang menteri ini telah perjuangkan untuk mereka. Mereka perlu tahu bahawa saya telah pun perjuangkan Jadual 7 (berkait semakan yuran GP),” katanya.

Terdahulu media melaporkan pengamal perubatan am akan berarak daripada bangunan KKM ke Pejabat Perdana Menteri pada Selasa, sebagai membantah dasar mewajibkan pusat perubatan swasta mempamerkan harga perubatan yang berkuat kuasa 1 Mei.

Protes itu dianjurkan oleh seksyen pengamal perubatan am Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan dijadual bermula 10 pagi, dengan doktor swasta berkumpul di luar bangunan KKM di Putrajaya.  

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan