KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiktiraf komitmen tinggi dan disiplin luar biasa yang menjadi kekuatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selama ini.
Bersempena Hari Bomba Sedunia 2025 yang disambut hari ini, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh warga JBPM, perwira yang tidak mengenal siang dan malam dalam menjalankan amanah mereka.
“Setiap kali siren kecemasan berbunyi, para anggota bomba tidak pernah bertanya siapa yang harus diselamatkan. Mereka terus mara, berdepan api, banjir, runtuhan dan pelbagai tragedi demi satu tujuan iaitu menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bertepatan dengan tema sambutan tahun ini “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara”, Ahmad Zahid berkata tanpa warga JBPM, keselamatan awam dan ketenteraman negara tidak akan terpelihara.
“Terima kasih saya ucapkan atas setiap pengorbanan, keberanian dan semangat waja yang ditunjukkan saban waktu. Semoga seluruh warga bomba terus diberi kekuatan dan perlindungan dalam menjalankan tugas yang mulia ini," katanya.
-- BERNAMA