KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata matlamat kerajaan bukan semata-mata untuk melihat kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media meningkat, tapi lebih penting lagi ialah membantu pengamal media yang kini berhadapan evolusi Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau berkata ketika ini, pengamal media berhadapan banyak cabaran yang perlu ditangani segera termasuk isu pekerjaan, isu kebajikan dan AI, yang menimbulkan kekhuatiran sama ada ia boleh menggantikan fungsi wartawan.
“Sehubungan itu laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF), memberi peluang kerajaan untuk mempertingkatkan usaha membela nasib pengamal media,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Kesihatan Awam Universiti Malaya: Kencing Manis Bukan Halangan, di sini hari ini.
Malaysia berjaya meningkatkan kedudukan dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan RSF iaitu melonjak 19 anak tangga, sekali gus berada pada kedudukan ke-88, kedua tertinggi di ASEAN, di belakang Thailand yang berada pada kedudukan ke-85.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata beberapa usaha yang dilaksanakan kerajaan seperti penggubalan undang-undang Majlis Media Malaysia, turut membantu dalam menampakkan hasil positif bagi kedudukan negara dalam indeks tersebut.
“Kita harap menjelang Hari Wartawan Nasional, akan dapat dibentuk majlis ataupun lembaga pengasasnya dan ini merupakan langkah positif langkah yang kita anggap langkah kanan,” katanya.
Fahmi berkata beliau juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan wakil pengamal media seperti kelab wartawan, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan Institut Akhbar Malaysia (MPI), untuk membincangkan mengenai garis panduan penggunaan AI dalam industri kewartawanan.
“Kita memang perlukan garis panduan, kita perlukan pemahaman supaya kita dapat manfaatkan AI dan tidak menjadi mangsa sama ada kepada berita palsu, maklumat yang tidak tepat ataupun salah guna AI terutama dalam bidang media.
“Saya sedia untuk bertemu dan mengadakan pertemuan dan saya akan cuba luangkan masa minggu ini setidak-tidaknya untuk mendapatkan pandangan awal daripada pihak NUJ,” katanya.
Mengulas mengenai isu 3R yang dibangkitkan RSF dalam laporan tersebut, Fahmi menegaskan keperluan mencari keseimbangan antara kebebasan bersuara dan pematuhan kepada undang-undang sedia ada.
“Kita tidak boleh benarkan maklumat tidak betul termasuk yang sentuh isu 3R yang ganggu-gugat ketenteraman awam itu berleluasa. Jadi rakyat Malaysia termasuk rakan media berhak bersuara dan menjalankan tugas termasuk membuat pelaporan tetapi undang-undang sedia ada tetap terpakai,” katanya.
-- BERNAMA