KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 yang disambut hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mengucapkan terima kasih atas pengorbanan, keberanian dan dedikasi semua anggota bomba.
"Anda adalah wira yang sentiasa bersedia menghadapi bahaya demi keselamatan masyarakat.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.
Hari Bomba Sedunia yang disambut pada 4 Mei setiap tahun adalah acara simbolik untuk memperingati dan menghargai pengorbanan serta khidmat yang dicurahkan anggota bomba di seluruh dunia.
-- BERNAMA