AM

MCMC LAKSANAKAN KAJI SELIDIK TERHADAP PENGGUNAAN PERKHIDMATAN POS DI MALAYSIA

08/05/2025 02:00 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan Kaji Selidik Penggunaan Perkhidmatan Pos di Malaysia bagi mendapatkan maklum balas rakyat tentang keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pos dan kurier di negara ini.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan kaji selidik tersebut yang dibuka sehingga 23 Mei ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Kajian Dasar Strategik Sektor Pos bagi menyokong cadangan pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Pos 2012 (APP 2012) yang sedang diteliti oleh MCMC untuk pertimbangan kerajaan.

Pelaksanaan pindaan ke atas APP2012 bertujuan memastikan rangkaian perkhidmatan pos dan kurier di Malaysia akan terus menjadi titik sentuh rakyat yang strategik menerusi pembangunan dan kawal selia holistik dan inklusif.

“Pindaan akta ini juga dapat melindungi dan memastikan kelestarian pemain industri tempatan yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran di samping memenuhi keperluan pengguna yang kian meningkat,” menurut kenyataan itu. 

MCMC berharap dapatan daripada kaji selidik itu dapat membantu kerajaan dalam perancangan dan pembangunan inisiatif yang relevan dalam perkhidmatan pos agar dapat membantu industri tempatan dan memenuhi keperluan rakyat dalam kehidupan seharian, untuk satu jangka masa panjang.

“Pada masa sama, sektor perkhidmatan pos dan kurier yang menjadi tunjang penting dalam aktiviti perkhidmatan penghantaran bungkusan, dapat memastikan pertumbuhan sektor e-dagang negara akan terus meningkat,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin memberi maklum balas boleh berbuat demikian dengan mengisi borang kaji selidik menerusi pautan di: https://forms.office.com/r/R5LBCg5Qt2

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan