EKONOMI

FIBROMAT BUAT PENAMPILAN SULUNG KURANG BERPRESTASI DI PASARAN ACE

08/05/2025 01:46 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Fibromat (M) Bhd membuat penampilan sulung yang kurang berprestasi di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini selepas berpindah dari Pasaran LEAP.

Syarikat perkhidmatan geoteknikal itu dibuka pada 46 sen iaitu 16 peratus di bawah harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu pada 55 sen sesaham.

Fibromat merupakan syarikat yang pakar dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan dan perdagangan produk geosintetik serta kawalan hakisan.

Pengarah Eksekutifnya Wallace Ng Chun Hou berkata syarikat mungkin perlu memperkukuh lagi prestasinya bagi menarik keyakinan pelabur.

"Kami berkembang dari sebuah syarikat kecil sehingga menjadi penyedia penyelesaian geoteknikal yang lebih bersepadu dan hari ini, ramai pelanggan termasuk pemaju dan agensi kerajaan mempercayai kami.

"Tetapi dari perspektif pasaran modal, kami mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan. Kami perlu terus menyampaikan prestasi yang kukuh untuk membina keyakinan pelabur dari masa ke masa," kata Ng pada sidang media sempena penyenaraian syarikat itu.

Fibromat merupakan syarikat penyenaraian terbaharu di Pasaran ACE yang kurang berprestasi dengan kesemua lapan penampilan sulung sejak Mac ditutup di bawah harga IPO mereka pada hari pertama penyenaraian.

Ng juga berpendapat prestasi pasaran syarikat yang lemah mungkin disebabkan oleh kesedaran awam yang terhad dan pemahaman mengenai nilai kerja khususnya.

"Apabila orang awam melihat kehijauan di sepanjang lebuh raya, mereka tidak tahu tentang kejuruteraan yang wujud di sebaliknya.

"Kami berbangga dengan sumbangan yang diberikan selama ini tetapi mengakui perlunya untuk meningkatkan kesedaran selain percaya ia akan membantu mencerminkan nilai syarikat dengan lebih baik dalam pasaran modal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Fibromat Ng Kian Boon berkata IPO itu berjaya mengumpul hasil sebanyak RM17.8 juta.

"Dengan RM17.8 juta yang dikumpul dari IPO, kami merancang untuk menggunakan kira-kira RM7.6 juta bagi membeli dua mesin jahitan penutup kawalan hakisan berasaskan rami serta empat pengumpul habuk dengan salurannya.

"Semua mesin baharu akan dipasang di kilang kami yang terletak di Rasa, Selangor untuk meningkatkan pengeluaran penutup kawalan hakisan kami," katanya.

Beliau berkata syarikat juga merancang untuk meningkatkan keupayaan dalaman dengan menubuhkan pasukan pemasangan saliran menegak prefabrikasi (PVD) dan memperoleh lima jengkaut hidraulik.

PVD merupakan geosintetik yang dipasang di tanah lembut untuk meningkatkan kestabilan tanah.

Projek terkenal Fibromat termasuk Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat, Lebuhraya Kedua Sarawak dan Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Syarikat itu juga sedang giat membida kontrak di bawah Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Jalan Penghubung Sarawak-Sabah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan