KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- HHRG Bhd memecat Fong Chee Khuen daripada jawatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa serta-merta berikutan dakwaan salah laku dan penyalahgunaan kuasa.
Pengeluar bahan biojisim itu sebelum ini mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Fong pada 7 April, menggantung beliau selama dua minggu berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu hasil siasatan dalaman.
Syarikat itu turut mengemukakan surat kepada Fong pada 18 April mengenai lanjutan tempoh penggantungan beliau sehingga 4 Mei 2025 sementara menunggu hasil daripada siasatan dalaman.
Menurut syarikat berkenaan, penggantungan ini adalah langkah berwaspada untuk memudahkan pemeriksaan bebas dan teliti mengenai dakwaan salah laku yang melanggar polisi syarikat dan/atau terma dan syarat tersurat dan/atau tersirat bagi pekerjaan Fong.
Pada 27 Mac lepas, HHRG menggantung tugas pengarah urusan, pengurus pengeluaran, dan pengurus kewangan dan sumber manusia anak syarikat milik 51 peratus mereka, MG Furniture Sdn Bhd bagi memudahkan siasatan dalaman.
-- BERNAMA