KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki didenda RM10,000 kerana kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau membabitkan sentimen kaum dan agama berkaitan isu pekerja Menara Kuala Lumpur di aplikasi TikTok pada 31 Mac lepas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan denda itu dikenakan terhadap Mohamad Shafiq Abdul Halim setelah mendapat izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan larangan terhadap penggunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan penyebaran kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.
Sehubungan itu, MCMC menasihati semua pengguna media sosial sentiasa bertanggungjawab serta beretika dalam memuat naik atau berkongsi kandungan dan sebarang penyebaran kandungan berunsur jelik melampau khususnya yang boleh menjejaskan sensitiviti agama, kaum atau institusi diraja akan dikenakan tindakan tegas.
Agensi itu turut menyatakan komitmen dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat, teratur dan harmoni, seiring dengan usaha memperkukuhkan perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
-- BERNAMA