KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 3.7 peratus kepada RM164.3 bilion pada Mac 2025 berbanding 4.7 peratus kepada RM153.1 bilion pada Februari 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan nilai jualan sektor pembuatan dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang merekodkan pertumbuhan kukuh 11.8 peratus pada Mac 2025 (Februari 2025: 14.5 peratus).
"Ini diikuti dengan subsektor peralatan elektrik dan elektronik serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, masing-masing pada 7.4 peratus (Februari 2025: 7.8 peratus) dan 4.0 peratus (Februari 2025: 4.4 peratus)," katanya dalam kenyataan Perangkaan Pembuatan Bulanan, Malaysia, Mac 2025 yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.9 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 4.6 peratus pada Mac 2025 (Februari 2025: 5.8 peratus).
"Selain itu, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal terus meningkat sebanyak 8.0 peratus (Februari 2025: 7.8 peratus) sementara pembuatan produk getah berkembang 7.5 peratus (Februari 2025: 8.4 peratus)," katanya.
Begitu juga, industri berorientasikan domestik tumbuh sebanyak 1.8 peratus pada Mac 2025 setelah mencatatkan pertumbuhan 2.3 peratus pada Februari 2025.
Perbandingan bulan ke bulan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing melonjak semula kepada peningkatan 8.6 peratus dan 4.2 peratus.
Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata seramai 2.39 juta orang terlibat dalam sektor ini pada Mac 2025, bertambah 1.1 peratus (Februari 2025: 1.2 peratus).
Perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini berkurang 0.2 peratus.
Mohd Uzir berkata, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan 1.8 peratus (Februari 2025: 2.0 peratus) berjumlah RM8.4 bilion pada Mac 2025.
Perbandingan bulan ke bulan, gaji dan upah yang dibayar susut 0.4 peratus.
"Seterusnya, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat kepada RM68,805 (2.6 peratus) manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,508, meningkat 0.7 peratus tahun ke tahun," katanya.
Bagi prestasi sektor pembuatan pada suku pertama 2025, nilai jualan mencatatkan RM475.6 bilion, naik sebanyak 4.0 peratus berbanding suku keempat 2024, naik sebanyak 4.4 peratus.
Bilangan pekerja menokok sebanyak 1.1 peratus kepada 2.39 juta orang manakala gaji dan upah meningkat 1.8 peratus kepada RM25.3 bilion dengan nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM199,108, tumbuh 2.9 peratus.
-- BERNAMA