AM

SWSI: 99 PERATUS KAWASAN DI PULAU PINANG TELAH TERIMA BEKALAN AIR SETAKAT 10 PAGI

28/04/2025 01:51 PM

GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Bekalan air bagi 99 peratus daripada kawasan yang terlibat dengan Gangguan Air Berjadual (SWSI) di Pulau Pinang telah berjaya dipulihkan setakat 10 pagi ini.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa bekalan air kepada kira-kira 337,000 daripada 341,708 pengguna air yang terjejas, telahpun dipulihkan.

“PBAPP sedang berusaha untuk memulihkan bekalan air secepat mungkin di beberapa kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) dan tanah tinggi di daerah Barat Daya.

“Pengguna di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Timur Laut yang masih mengalami isu bekalan air diminta menghubungi Pusat Panggilan 24-Jam PBAPP di talian 04-2558255 dan 04-5096509,” menurut kenyataan itu.

SWSI, yang bermula pada 10 malam Jumaat lepas hingga esok, membabitkan keseluruhan 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang susulan pelaksanaan 23 projek penambahbaikan perkhidmatan bekalan air kepada kira-kira 465,000 pengguna di kawasan perkhidmatan Loji Rawatan Air Sungai Dua, yang menelan kos RM25 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan