JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS BURU DUA INDIVIDU, CURI BARANGAN KEMAS LEBIH RM100,000

28/04/2025 08:13 PM

SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Polis sedang mengesan dua warga tempatan dipercayai mencuri barang kemas yang bernilai RM111,743.55 di sebuah kedai emas di sekitar Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata menerusi laporan yang diterima pihaknya pada 4.55 pagi semalam daripada jurujual kedai itu, kedua-dua individu iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita berpura-pura menunjukkan minat membeli barang kemas di kedai itu kira-kira 4 petang pada 26 April lepas.

“Ketika pengadu sibuk mengambil pelbagai barang emas untuk ditunjukkan, suspek perempuan itu telah bertindak mengambil beberapa barang kemas tanpa disedari pengadu.

“Kehilangan barang kemas itu hanya disedari selepas pasangan terbabit beredar dan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah mengambilnya semasa pengadu sedang leka,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Iqbal berkata antara barangan yang dicuri ialah dua cincin emas 916 dan tiga rantai tangan emas 916 dengan anggaran berat keseluruhan 244.08 gram melibatkan kerugian RM111,743.55. 

Katanya, suspek lelaki dilaporkan memakai topi merah dan cermin mata hitam manakala suspek wanita memakai topi putih dan pelitup muka.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan kes dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Iqbal berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Prabagaran Nair melalui talian 011-2639 4419.

Terdahulu, tular rakaman CCTV berdurasi 2.26 saat di laman sosial TikTok memaparkan kejadian seorang lelaki dan seorang wanita telah mencuri rantai tangan dan cincin emas di sebuah kedai emas di Shah Alam.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan