KUCHING, 23 April (Bernama) -- Irama lagu Bekikis Bulu Betis berjaya mencuri perhatian dan menambat hati para delegasi ASEAN pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-33 di sini malam ini.
Dengan alunan vokal terbaik penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah dan iringan penari kebudayaan, persembahan bertenaga itu menghidupkan suasana majlis serta mencerminkan kekayaan seni dan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Delegasi dari 11 negara ASEAN turut kelihatan teruja dengan persembahan itu, malah sebahagian daripada mereka bangun menari mengikut rentak, menggambarkan sambutan hangat terhadap budaya tempatan.
Persembahan itu menyerlahkan semangat perpaduan dan keharmonian rakyat Sarawak, sejajar dengan falsafah Iban Segulai Sejalai yang bermaksud ‘bersama dalam perpaduan’.
Bekikis Bulu Betis adalah lagu Iban popular nyanyian penyanyi tempatan Andrewson Ngalai. Lagu itu bukan sahaja terkenal di Sarawak, malah mencetus fenomena di seluruh negara dengan melodinya yang rancak serta lirik yang menghiburkan.
Ia sering dimainkan dalam majlis rasmi, kenduri dan acara kebudayaan, menjadikan lagu itu simbol hiburan rakyat Sarawak yang merentasi sempadan kaum dan agama.
ASCC yang berlangsung dari 22 hingga 26 April di Kuching adalah mesyuarat peringkat menteri yang dijadualkan dua kali setahun bagi membincangkan isu-isu sosiobudaya utama di rantau ASEAN.
Mesyuarat berkenaan dihadiri wakil dari 11 negara ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
-- BERNAMA