SEREMBAN, 28 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan sedang dalam proses membangunkan dua pusat data di negeri ini, demikian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia membabitkan pusat data hijau oleh pelabur Amerika Syarikat di Nilai dan pusat data teknologi kecerdasan buatan (AI) di Springhill, Port Dickson yang bakal dibangunkan Gamuda Berhad (Bhd).
“Urusan tanah telah selesai dan kerja tanah juga turut bermula, faktor pemilihan Negeri Sembilan sebagai pusat data ini berikutan lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan Lembah Klang yang merupakan pusat perindustrian dan perniagaan di negara ini.
“Selain itu, Negeri Sembilan juga menawarkan jaringan lebuh raya yang baik dan memenuhi segala keperluan infrastruktur diperlukan oleh sesebuah pusat data iaitu bekalan tenaga elektrik tinggi serta kapasiti air yang mencukupi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata demikian bagi menjawab soalan Choo Ken Hwa (PH-Lukut) yang ingin tahu bilangan pusat data yang dimohon untuk dibangunkan di negeri ini dan hala tuju untuk membangunkan pusat data berkenaan serta manfaat kepada rakyat.
Aminuddin berkata pembangunan pusat data itu turut menyumbang kepada pelbagai manfaat kepada warga tempatan termasuk membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi terutama dalam bidang teknologi maklumat selain meningkatkan jumlah pelaburan dan kutipan cukai.
Bagaimanapun beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji perkara itu dengan teliti sekiranya menerima sebarang cadangan projek pusat data baharu kerana perlu mengambil kira keperluan air yang tinggi sekali gus memastikan kelestarian sumber bekalan air sentiasa terjamin.
Menjawab soalan tambahan Choo mengenai perancangan masa depan bagi memastikan penggunaan air mencukupi, Aminuddin berkata sebuah loji rawatan air dengan kapasiti 67 juta liter sehari akan dibina dan dibuat sepenuhnya oleh Gamuda Bhd serta diuruskan oleh Syarikat Air Negeri Sembilan apabila disiapkan nanti.
“Perkara ini telah selesai dibincangkan, loji rawatan air itu juga akan menyelesaikan isu air di Springhill dan kawasan berhampiran..ini antara kerjasama baik antara dua syarikat untuk memastikan kelangsungan ini (pusat data) tidak menganggu urusan air di kawasan tersebut,” katanya.
-- BERNAMA