AM

48 TAN BERAS PERPATIH SETIAP BULAN, BERI MANFAAT 2,500 RAKYAT DI NEGERI SEMBILAN

28/04/2025 03:25 PM

SEREMBAN, 28 April (Bernama) -- Sebanyak 48 tan beras jenama Perpatih bagi manfaat kira-kira 2,500 rakyat disediakan setiap bulan menerusi Program Jualan Nismilan Prihatin, demikian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Jalaluddin Alias berkata usaha berterusan kerajaan negeri itu bertujuan meningkatkan akses perolehan beras tempatan kepada rakyat di negeri berkenaan.

“Program jualan ini diadakan pada setiap pagi Jumaat di lapan Parlimen secara bergilir, dengan purata jualan 300 kampit beras (5kg) pada harga RM13 sekampit setiap minggu.

“Secara keseluruhannya, 624 metrik tan beras telah dijual menerusi program ini sepanjang tempoh lebih kurang 13 bulan lepas,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ketua Pembangkang Mohamad Hanifah Abu Baker.

Mohamad Hanifah (PN-Labu) meminta kerajaan negeri menjelaskan mengenai perancangan memberikan beras percuma kepada rakyat yang terkesan isu berkaitan beras tempatan susulan pendedahan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bahawa 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel dianalisis didapati bercampur dengan beras putih tempatan.

Jalaluddin (BN-Pertang) menjelaskan isu itu di bawah bidang kuasa peringkat Persekutuan, namun kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan kerajaan negeri bersifat 'membuli' apabila tiada peruntukan disalurkan kepada ADUN pembangkang, sebaliknya peruntukan diberikan menerusi pusat khidmat masyarakat DUN terlibat.

“Mengenai soalan isu buli ini, kita bukan tidak bagi, cuma ia tidak melalui ADUN pembangkang tetapi menerusi pusat khidmat,” kata ADUN Sikamat itu ketika menjawab celahan ADUN Paroi Kamarol Ridzuan Mohd Zain yang mempertikaikan peruntukan yang masih belum diterima sehingga kini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan