AM

LEBIH RM5.4 JUTA UNTUK PROJEK PEMBANGUNAN, NAIK TARAF KEMUDAHAN DI TELUK INTAN - NGA

26/04/2025 06:37 PM

IPOH, 26 April (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM5,459,690 bagi projek pembangunan dan menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan Projek Kampung Baru Cina di kawasan itu.

Menterinya Nga Kor Ming memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak RM4,159,690 diperuntukkan untuk melaksanakan 22 projek pembangunan kampung baru di daerah Hilir Perak, manakala RM300,000 bagi kerja-kerja membina gelanggang badminton berbumbung di Kampung Baru Pasir Bedamar.

“Selain itu peruntukan berjumlah RM1 juta bagi projek naik taraf Medan Selera Glutton Square Baru, Teluk Intan yang akan dipantau oleh MPTI,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih 3.0 KPKT ke Teluk Intan, hari ini.

Nga berkata dalam sesi lawatan tersebut beliau turut meninjau kerja-kerja naik taraf Medan Selera Glutton Square Baru.

Beliau berkata projek naik taraf medan selera tersebut, bertujuan meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kebersihan para peniaga serta pengunjung bagi merancakkan lagi ekonomi setempat.

Selain itu Nga turut merasmikan gelanggang badminton Kampung Baru Pasir Bedamar yang telah siap dibina pada 25 Nov tahun lepas, yang memberi manfaat kepada anak-anak muda kawasan setempat. 

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan