KOTA BHARU, 28 April (Bernama) -- Kes jenayah penipuan dalam talian atau scam di Kelantan menunjukkan peningkatan berikutan kejadian yang berlaku hampir setiap hari, dengan nilai kerugian mencecah RM8.79 juta, terutama membabitkan pesara dan golongan profesional.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata statistik suku pertama tahun ini dari Januari hingga Mac merekodkan peningkatan sebanyak 33.3 peratus atau 89 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
“Kes penipuan semakin ketara di negeri ini, dengan beberapa mangsa terdiri daripada pesara dan golongan profesional sanggup membayar sejumlah wang besar kepada scammer ataupun penipu walaupun pada awalnya hanya berhasrat membuat pinjaman kecil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata terdapat mangsa yang mengalami kerugian melebihi RM200,000, sedangkan pada mulanya mereka hanya berniat untuk meminjam RM100,000 sahaja.
“Data menunjukkan jenayah komersial tertinggi tahun ini melibatkan phone scam (Macau scam) dengan 113 kes, diikuti penipuan e-dagang sebanyak 74 kes,” katanya.
Beliau berkata kes e-dagang itu kebanyakannya melibatkan pembelian kenderaan dan permohonan pinjaman wang dalam talian, khususnya dalam kalangan pesara dan golongan profesional.
“Mereka mudah terpedaya dengan permintaan pemanggil scammer walaupun berpendidikan tinggi. Antara modus operandi yang digunakan ialah tawaran pinjaman palsu, pembelian barangan, seperti kenderaan serta pelaburan emas secara dalam talian,” katanya.
Menurut Mohd Yusoff, scammer kini semakin licik menggunakan pelbagai teknik memperdaya mangsa manakala mangsa pula mudah terperdaya dengan tawaran yang kelihatan mudah dan menguntungkan.
Sementara itu, beliau berkata pergerakan rakyat Malaysia merentas sempadan melalui pangkalan haram Malaysia–Thailand menurun secara mendadak selepas penguatkuasaan larangan sejak 1 Disember tahun lepas.
Beliau berkata pergerakan dari Malaysia ke Thailand yang sebelum ini mencecah kira-kira 400 hingga 500 orang sehari, kini tidak sampai 20 orang sehari.
“Penutupan pangkalan haram itu juga turut meningkatkan hasil kerajaan berikutan rakyat mematuhi peraturan dengan menggunakan pas sempadan.
“Ia hasil penguatkuasaan ketat selepas pengisytiharan penutupan sempadan, selain kawalan di semua laluan tikus,” katanya.
Beliau berkata berikutan tindakan itu, rampasan dadah di sempadan Kelantan–Thailand turut menurun sebanyak 60 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff berkata untuk menaikkan lagi peratusan penurunan rampasan dadah ke tahap maksimum mungkin sukar dicapai disebabkan kekangan keanggotaan pihak berkuasa dalam mengawal sempadan sepanjang 136.4 kilometer.
“Namun, kita tetap berusaha ke arah itu dan yang lebih penting ialah kesedaran masyarakat bahawa kita tegas dalam penguatkuasaan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang dilaksanakan,” katanya.
-- BERNAMA