AM

SWSI: BEKALAN AIR PULIH 88 PERATUS SETAKAT 10 MALAM INI - PBAPP

27/04/2025 11:51 PM

GEORGE TOWN, 27 April (Bernama) -- Sebanyak 88 peratus bekalan di kawasan yang terlibat dengan Gangguan Air Berjadual (SWSI) di Pulau Pinang berjaya dipulihkan setakat 10 malam ini seperti disasarkan, demikian menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Menerusi hantaran di laman Facebook, PBAPP memaklumkan fasa dua pemulihan bekalan air telah tercapai untuk majoriti pengguna di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya membabitkan 163,502 akaun.

“Lori tangki masih digerakkan untuk mengisi tangki air di daerah SPS dan Barat Daya dalam kawasan kejiranan di hujung paip agihan serta tanah tinggi. 

"Bilangan pengguna yang masih terjejas dengan SWSI itu adalah sebanyak 41,523 penguna," menurut PBAPP.

SWSI, yang bermula pada 10 malam Jumaat lepas hingga esok, membabitkan keseluruhan 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang susulan pelaksanaan 23 projek penambahbaikan perkhidmatan bekalan air kepada kira-kira 465,000 pengguna di kawasan perkhidmatan Loji Rawatan Air Sungai Dua, yang menelan kos RM25 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan