AM

MALAYSIA, VIETNAM SEPAKAT TERUSKAN BANTUAN KEMANUSIAAN DI MYANMAR TANPA SEKATAN

28/04/2025 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia dan Vietnam sepakat untuk meneruskan bantuan kemanusiaan kepada semua rakyat Myanmar tanpa sekatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disepakati dalam perbualan bersama rakan sejawatannya dari Vietnam, Pham Minh Chinh, hari ini.

“Dalam hubungan ini, adalah penting supaya semua pihak meneruskan gencatan senjata bagi memastikan keselamatan pekerja bantuan kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beberapa minggu selepas gempa bumi melanda Myanmar pada akhir Mac, Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dilaporkan memberi amaran bahawa keperluan kemanusiaan masih mendesak khususnya dalam aspek tempat perlindungan, bekalan air bersih, sanitasi dan penjagaan kesihatan.

Selain isu itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai perkembangan terkini dan tindakan bersama ASEAN terhadap tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.

“Mengenai isu tarif perdagangan yang dikenakan Amerika Syarikat pula, saya memaklumkan Malaysia telah menghantar wakil menerusi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) (Tengku Datuk Seri Zafrul) dalam usaha mencapai penyelesaian yang saling menguntungkan kedua-dua negara.

“Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia memohon pertimbangan Amerika Syarikat supaya negara anggota ASEAN diberi ruang menggunakan mekanisme hubungan dua hala dalam mencapai penyelesaian yang baik bagi perkara tarif timbal balas ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa berlandaskan prinsip saling menghormati, kerjasama dan kesejahteraan bersama.

Anwar berharap segala usaha itu membuahkan hasil yang membawa keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat di seluruh rantau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan