KUCHING, 26 April (Bernama) -- Sejumlah 39 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah dipilih untuk dijadikan sebagai KRT Progresif Negeri Sarawak pada tahun ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata setiap KRT Progresif boleh memohon peruntukan tidak melebihi RM100,000 setahun bagi menceburi program meliputi lapan bidang yang digariskan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
“Saya menyeru KRT di Sarawak terus aktif dan berharap kesemua KRT di negeri ini dinaik taraf menjadi KRT Progresif suatu hari nanti.
“Dengan adanya peruntukan RM20 juta geran kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi KRT Progresif, kita harap lebih banyak KRT akan berkecimpung dalam pelbagai aktiviti,” katanya berucap pada Program Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Sarawak 2025 anjuran JPNIN Sarawak di sini hari ini.
Aaron berkata KRT Progresif akan menumpukan kepada lapan bidang iaitu ekonomi sara hidup, keselamatan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan budaya dan daya cipta.
Beliau berkata setakat ini terdapat 8,554 KRT di seluruh negara dengan 1,092 daripadanya di Sarawak.
Sebelum ini, media melaporkan JPNIN menyasarkan 300 KRT untuk dimodenkan serta dinaik taraf sebagai KRT Progresif.
Sementara itu, KPN dalam kenyataan memaklumkan sejumlah RM302,775 diperuntukkan kepada lima tabika perpaduan di Sarawak bagi kerja-kerja penambahbaikan yang dapat memanfaatkan pelajar.
Tabika terlibat ialah Tabika Perpaduan RPR Permyjaya Miri, Tabika Perpaduan Ong Tiang Swee dan Tabika Perpaduan Siol Kandis (Kuching), Tabika Perpaduan Sungai Plan (Bintulu) serta Tabika Perpaduan Kampung Pahlawan (Limbang).
Terdahulu, majlis berkenaan dihadiri jentera perpaduan peringkat komuniti iaitu KRT, anggota Skim Rondaan Sukarela, Mediator Komuniti, warga Taska dan Tabika Perpaduan, Skuad Uniti serta pertubuhan badan bukan kerajaan.
-- BERNAMA