AM

KERAJAAN TUBUH JAWATANKUASA TEKNIKAL TANGANI ISU HARGA BARANG DI SABAH DAN SARAWAK

26/04/2025 10:37 PM

MIRI, 26 April (Bernama) -- Jawatankuasa Penstabilan Harga Barang yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan membentuk dua jawatankuasa teknikal bagi Sabah dan Sarawak untuk merangka tindakan lanjut dalam menangani isu harga barang secara lebih spesifik dan berfokus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu diambil susulan pembentangan dapatan kajian oleh Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah mengenai punca utama harga barang yang tinggi di kedua-dua negeri kepada jawatankuasa berkenaan baru-baru ini.

“Dapatan awal menunjukkan antara faktor utama ialah kos logistik yang tinggi untuk membawa barang ke Sabah dan Sarawak, terutama dari Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Rahmah MADANI di Emart Riam di sini hari ini.

Armizan menjelaskan walaupun terdapat barangan tertentu yang lebih murah di Sarawak berbanding di Semenanjung, majoriti barangan keperluan harian tetap mencatatkan harga lebih tinggi disebabkan faktor geografi dan kos penghantaran.

Beliau berkata jawatankuasa teknikal yang bakal dibentuk itu melibatkan kerjasama kedua-dua universiti dan dipengerusikan bersama antara wakil kerajaan Persekutuan dan wakil kerajaan negeri, sama ada menteri atau timbalan menteri.

“Datuk Seri Fadillah dalam masa terdekat akan mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak untuk membincangkan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa teknikal di Sarawak, manakala saya sendiri akan berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk tujuan yang sama,” jelasnya.

Beliau berkata di Sabah antara fokus awal yang dikenal pasti ialah harga ayam sebagai sumber protein utama, apabila kajian mendapati harga ayam di negeri itu jauh lebih tinggi walaupun terdapat banyak ladang ayam tempatan.

Selain itu, barangan asas seperti gula turut menjadi perhatian kerana Sabah dan Sarawak tidak mempunyai kilang penapisan gula sendiri, yang menambah kepada kos barangan berkenaan.

Dengan penubuhan jawatankuasa teknikal ini, kerajaan berharap dapat membangunkan panduan tindakan jangka panjang termasuk perancangan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang sedang dimuktamadkan melalui Kementerian Ekonomi, bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan kestabilan harga di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan