KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Semenyih, Selangor membawa kepada penemuan dua mayat dalam keadaan terbaring di lantai ruang tamu malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kedua-dua mayat ditemukan susulan laporan daripada seorang lelaki warga tempatan pada 8.43 malam yang terhidu bau busuk mencurigakan dari arah rumah kakaknya.
Beliau berkata dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, rumah kakak pengadu dipecahkan bagi membolehkan pasukan keselamatan masuk sebelum mendapati wanita itu dan anak saudaranya dalam keadaan terbaring yang kemudian disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Pemeriksaan di dalam rumah si mati tidak menjumpai apa-apa kesan digeledah dan semasa kejadian, rumah si mati berada dalam keadaan berkunci dari dalam. Motif kejadian ini masih dalam siasatan.
“Polis turut merampas beberapa barang kes untuk siasatan lanjut. Tiada sebarang tangkapan buat masa ini namun keterangan lanjut ahli keluarga dan saksi-saksi akan direkodkan bagi membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata maklumat awal mendapati kakak pengadu, yang berusia 53 tahun, tinggal bersama anak saudara lelakinya berumur 25 tahun dan sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di persekitaran rumah mereka.
“Mayat mereka telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang dan proses bedah siasat selesai dijalankan pada 2.30 petang hari ini dan punca kematian adalah sesak nafas,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat ASP Umesh Ratnam Kumar di talian 012-6114 900.
-- BERNAMA