KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, atas kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
“Tahniah kepada Dr Mohamad Yusri Bakir yang mewakili BN atas kemenangan di Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning yang baru selesai.
“Insya-Allah, suara rakyat pasti diterjemah dengan santun dan berketerampilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dr Mohamad Yusri yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, menang dengan majoriti 5,006 undi selepas meraih 11,065 undi menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di pusat penjumlahan undi di Dewan Merdeka di Tapah, malam ini.
Keputusan itu menyaksikan DUN Ayer Kuning terus menjadi kubu kuat BN yang dikuasai parti berkenaan sejak 1986.
-- BERNAMA