TAPAH, 26 April (Bernama) -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjadi bukti jelas sokongan pengundi terhadap agenda kestabilan yang dibawa Kerajaan Perpaduan, kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menteri Besar Perak itu berkata penduduk Ayer Kuning memilih untuk menolak politik fitnah dan perpecahan sebaliknya mengutamakan keharmonian demi masa depan yang lebih baik.
"Alhamdulillah, Allah SWT memberikan kemenangan kepada calon BN yang mewakili Parti Kerajaan Perpaduan malam ini. Mereka (pengundi) menerima hujah kita, mereka menerima rayuan kita, jadi saya nak ingatkan, mari kita teruskan kasih sayang ini, kita teruskan perpaduan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK itu di Dewan Merdeka di sini malam ini.
Saarani berkata kemenangan itu tidak akan tercapai tanpa usaha gigih semua pihak termasuk jentera BN dan Pakatan Harapan yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata dengan keputusan itu, BN meneruskan kejayaan meraih sokongan rakyat selepas PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor).
“Kemenangan ini membuktikan rakyat menolak politik berasaskan kebencian, permusuhan, memaki hamun dan politik perkauman yang melampau,” katanya.
Bagi Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said, kemenangan itu membuktikan kekuatan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan pengiktirafan rakyat terhadap usaha berterusan memajukan kawasan Ayer Kuning.
Beliau berkata ia juga bukti jelas bahawa rakyat secara keseluruhannya terus meletakkan kepercayaan kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan dan kesinambungan kepimpinan yang telah dirintis oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin (bekas ADUN Ayer Kuning) sebelum ini.
"Saya yakin Dr Mohamad Yusri akan menggalas amanah ini dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Howard Lee Chuan How berkata kejayaan pada PRK tersebut merupakan kemenangan formula Kerajaan Perpaduan yang akan dikekalkan.
“… ini sahajalah (formula) yang akan kita gunakan untuk menewaskan segala yang menentang perpaduan rakyat di Malaysia,” katanya.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi pula berkata kemenangan ini menunjukkan masyarakat menolak parti atau gabungan politik yang memainkan sentimen perkauman.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
-- BERNAMA