AM

JENAZAH PAK LAH DIBAWA KE MASJID NEGARA PAGI ESOK - KHAIRY

14/04/2025 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh berbuat demikian di Masjid Negara, dari 11 pagi hingga 1 tengah hari esok.

Menantu Allahyarham Khairy Jamaluddin berkata jenazah selepas itu akan dibawa ke Makam Pahlawan untuk dikebumikan.

"Jadi selepas ini, jenazah Tun Abdullah akan dibawa (dari IJN) ke kediaman beliau di Kuala Lumpur dan pada esok pagi, jenazah akan dibawa ke Masjid Negara.

"Sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah (Tun Abdullah) bolehlah datang ke Masjid Negara," katanya pada sidang media selepas menuntut jenazah Tun Abdullah di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, malam ini.

Turut hadir anak Allahyarham Tan Sri Kamaluddin dan Nori yang juga isteri Khairy.

Abdullah meninggal dunia di IJN pada 7.10 malam ini pada usia 85 tahun. 

Khairy berkata bagi bukan Muslim, mereka dinasihatkan supaya memakai pakaian yang bersesuaian untuk masuk ke dalam masjid. 

"Bagaimanapun, jubah akan disediakan oleh pihak Masjid Negara. Selepas Zohor, akan diadakan solat jenazah bagi Pak Lah.

"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kebenaran untuk jenazah Pak Lah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara," kata Khairy. 

Menurut beliau Abdullah meninggal dunia dalam keadaan tenang selain semua ahli keluarga turut berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.

Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

-- BERNAMA  

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan