JENAYAH & MAHKAMAH

MEMANDU DI BAWAH PENGARUH ALKOHOL: PEMANDU KERETA MENGAKU TIDAK BERSALAH SEBABKAN KEMATIAN

16/04/2025 12:18 PM

JOHOR BAHRU, 16 April (Bernama) -- Seorang pekerja bengkel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan kematian seorang penghantar makanan, Ahad lepas.

Kok Zi Kang, 25, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Kok didakwa memandu sebuah kereta BMW dengan kadar alkohol 76 miligram (mg)/100 mililiter (ml) darah, iaitu 26mg/100ml melebihi had ditetapkan 50mg/100ml dan menyebabkan kematian Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada 2.10 pagi, 13 April lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Selain itu butiran mengenai sabitan diendorskan pada lesen memandu, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun daripada tarikh sabitan dan lesen memandu percubaan dibatalkan, jika ada.

Kok turut berdepan tuduhan mempamerkan nombor plat pendaftaran kenderaan yang bukan kepunyaan kenderaan tersebut dan didakwa di bawah Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira 4.30 pagi pada hari sama di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Masai, Johor.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 untuk pertuduhan kedua berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan