JENAYAH & MAHKAMAH

SHAHNAZ AKHTAR PANGKU TUGAS KETUA POLIS DAERAH SERDANG

16/04/2025 12:23 PM

SERDANG, 16 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Supt Shahnaz Akhtar Haji dilantik memangku tugas Ketua Polis Daerah Serdang berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas berkenaan daripada ACP A.A Anbalagan yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebagai Ketua Cawangan Khas.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini hari ini disaksikan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Hussein dalam ucapannya berkata sepanjang lebih tiga tahun menjalankan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Serdang, Anbalagan telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk membanteras jenayah seterusnya menurunkan kadar indeks jenayah dan mengekalkannya sehingga ke hari ini.

"Pencapaian ini mencerminkan dedikasi beliau dalam memperkukuh kecekapan penguatkuasaan undang-undang serta keyakinan masyarakat. 

"Usaha beliau turut memberikan impak positif dalam meningkatkan imej serta keberkesanan pasukan polis daerah Serdang dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya. 

Sementara itu, Anbalagan dalam ucapannya berharap semua anggota dan pegawai di IPD Serdang sentiasa menjalankan tugas mereka dengan niat yang tulus dan amanah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan