KUALA TERENGGANU, 16 April (Bernama) -- Seorang pengurus kanan sebuah syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM64,500 akibat diperdaya tawaran tender yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 17 Mac lepas wanita berusia 42 tahun itu dihubungi oleh individu yang mengaku sebagai pegawai daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui aplikasi WhatsApp, dengan tawaran menarik.
Beliau berkata suspek menawarkan tender pemasangan langsir dan aksesori di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut dengan nilaian harga yang ditetapkan syarikat wanita berkenaan.
"Bagaimanapun suspek menetapkan syarat supaya mendapatkan bekalan kain daripada syarikat pembekal dilantik pihaknya, dan wanita itu kemudian berhubung dengan syarikat pembekal berkenaan hanya melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Azli berkata wanita itu telah membuat dua kali pembayaran berjumlah RM64,500 ke akaun bank seperti diarahkan suspek kepada syarikat pembekal, namun selepas diperiksa kemudiannya, dia mendapati tender berkenaan sebenarnya tidak wujud.
"Pengurus kanan itu membuat laporan polis pada 12.51 tengah hari semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. -- BERNAMA