EKONOMI

MEGAH PORT LAKSANA PENAMBAHBAIKAN, PERKUKUH PERANAN PELABUHAN SEBAGAI HAB LOGISTIK UTAMA

12/04/2025 07:51 PM

LABUAN, 12 April (Bernama) -- Operator pelabuhan kontena Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) melaksanakan penambahbaikan yang ketara dalam meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan peranan pelabuhan itu sebagai hab logistik utama di rantau ini sejak mengambil alih operasi pelabuhan berkenaan.

Pengarah Urusannya Datuk Seri Patrick Tiong berkata penambahbaikan ini bukan sahaja merangsang aktiviti ekonomi malah memperkukuh komitmen MPM untuk menjadi warga korporat yang bertanggungjawab.

Beliau berkata demikian pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Labuan Liberty Port di sini hari ini yang kali kedua diadakan sejak MPM mengambil alih aspek pengurusan pelabuhan berkenaan. 

Majlis itu menghimpunkan lebih 1,000 tetamu daripada pelbagai sektor ekonomi dan seumpamanya selain dihadiri pengguna pelabuhan, pemimpin dewan perniagaan, agensi kerajaan, murid-murid kurang berkemampuan serta penduduk setempat.

"Rumah terbuka MPM bukan sekadar perhimpunan perayaan. Ia adalah peluang untuk memupuk perasaan muhibah melibatkan seluruh peringkat masyarakat dan memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan