PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Kira-kira 21,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria di sini malam ini.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketibaan Anwar bersama isteri Dr Wan Azizah pada 7.57 malam itu disambut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis.
Selain itu, beberapa menteri Kabinet turut hadir pada majlis berkenaan, termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus.
Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada semua tetamu yang hadir meskipun esok ialah hari bekerja dan persekolahan.
“Yang datang dari jauh dan dekat, rakan-rakan politik, saudara-mara, terima kasih juga untuk penduduk di Putrajaya yang berkesempatan hadir bersama dengan anak-anak mereka walaupun esok hari sekolah,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan sumbangan duit raya kepada 25 anak-anak daripada Pusat Jagaan Anak-Anak Insan Al Rahmat Hikmah, Ampang, Selangor serta kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai juadah termasuk martabak, soto ayam, cendol, kuetiau goreng dan apam balik selain diserikan dengan pertunjukan bunga api.
Majlis yang bermula 8 malam hingga 11 malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Hael Husaini, Nadeera Azmi, Wany Hasrita dan Ara Johari.
-- BERNAMA