DUNIA

BERSAMA VIETNAM "BERGANDING BAHU BUKA LEMBARAN BAHARU" - XI

14/04/2025 04:40 PM

HANOI, 14 April (Bernama-CMG) -- Sebagai dua negara sosialis yang berjiran, China dan Vietnam mempunyai cita-cita yang sama dan kepentingan strategik dalam pelbagai bidang. Usaha membentuk komuniti berkongsi nasib China-Vietnam adalah demi manfaat bersama. Ia bukan sahaja merupakan pilihan sejarah tetapi juga pilihan rakyat, kerana kondusif bagi kedamaian, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau bahkan sejagat.

Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping dalam satu artikelnya yang bertajuk "berganding bahu membuka lembaran baharu" yang diterbitkan sempena lawatan rasminya di Vietnam bermula Isnin.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC) menunjukkan bahawa China berada di landasan memangkin agenda pemerkasaan negara dan pembangkitan nusa dan bangsa melalui pembangunan modenisasi ala China, sedangkan Vietnam akan membuka lembaran baharu dalam sejarah perkembangan bangsa, dan mengorak langkah dalam memperjuangkan matlamat untuk dua "ulang tahun ke-100 " sejak penubuhan Parti dan negara. China yang sentiasa melihat Vietnam sebagai satu keutamaan dalam diplomasi kejiranan, bersedia memperdalam pembangunan komuniti berkongsi nasib dengan negara itu.

"Kedua-dua pihak diharap terus memupuk rasa saling percaya dari segi strategi, melaksanakan penyelarasan dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan "Dua Koridor Ekonomi dan Lingkar Ekonomi Teluk Beibu", membina lebih banyak wahana kolaborasi ekonomi dan teknologi, memperluas bidang kerjasama baharu seperti 5G, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan hijau demi kesejahteraan rakyat.

"Sementara itu, kedua-dua negara diharap berhemah menangani perselisihan demi kedamaian dan kestabilan serantau, dan mengambil tindakan tulen mencetuskan fenomena damai, persahabatan dan kerjasama di Laut China Selatan," kata Xi.

-- BERNAMA-CMG

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan