AM

MALAYSIA SEDIA SAMBUT PRESIDEN CHINA – FAHMI

15/04/2025 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Malaysia bersedia sepenuhnya dengan segala persiapan rapi untuk menyambut Presiden China Xi Jinping yang dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini untuk lawatan negara selama tiga hari, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan berada di Kompleks Bunga Raya KLIA bagi menyambut ketibaan Presiden China itu.

“Kita semua sudah bersedia…. insya-Allah, Presiden Xi akan tiba mungkin dalam masa sejam dari sekarang.

“Acara utama akan berlangsung esok bermula dengan Majlis Sambutan Negara pada sebelah pagi disusuli siri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China serta antara agensi-agensi pada sebelah petang,” katanya kepada media di Wisma Bernama hari ini.

Fahmi turut memaklumkan semua tatacara berkaitan protokol negara telah dipatuhi susulan selesai istiadat Pengebumian Negara Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menerima penghormatan itu pagi tadi.

“Pengebumian telah selesai, jadi dari segi protokol kita patuh. Kita telah patuh dengan segala protokol yang melibatkan pengebumian pembesar negara,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj. 

Xi dijadual mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia bermula hari ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan beliau ke negara ini pada 2013.

Sepanjang lawatan itu, beliau dijadual menghadap Sultan Ibrahim dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan