KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Lim Guan Eng mengesyorkan syarikatnya membina terowong dasar laut di negeri itu, kerana ia tidak melibatkan banyak kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.
Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 66, berkata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut memaklumkan kepadanya bahawa, ia berbeza dengan pembinaan jambatan yang memerlukan banyak kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Memandangkan Pulau Pinang pada masa itu di bawah pimpinan pembangkang, jadi beliau (Lim) mengesyorkan supaya kita buat terowong daripada jambatan pada masa itu,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dalam perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.
Sementara itu, Zarul Ahmad berkata beliau mengetahui bahawa projek terbabit dimasukkan dalam satu permintaan untuk cadangan (RFP) pada mesyuarat 11 Julai 2011.
“Pada minit mesyuarat itu, menyatakan kesemua projek mega yang dirancang untuk dibangunkan perlu dimuatkan dalam satu dokumen RFP, kerana setiap satu projek tersebut berkaitan antara satu sama lain. Sehubungan itu, syarikat Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (BUCG) tidak perlu menyediakan deraf dokumen RFP secara berasingan bagi setiap projek,” katanya.
Wan Shaharuddin: Dalam kes ini ada empat projek, kebiasaannya satu projek ada berapa RFP?
Zarul Ahmad: Kebiasaannya satu projek ada satu RFP. Dalam kes ini ada empat projek dan sepatutnya ada empat RFP.
Saksi pendakwaan ke-23 itu bersetuju bahawa perkara itu memberi kelebihan kepada syarikatnya dalam penyediaan RFP, yang dibantu oleh pegawai kerajaan negeri.
Wan Shaharuddin: Bagaimana kelebihan yang Datuk (Zarul Ahmad) dapat daripada mesyuarat pada 10 Mei 2011 dan 11 Julai 2011?
Zarul Ahmad: Dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut terutama pada 11 Julai 2011, sudah pasti mereka dan saya bekerjasama untuk menyediakan RFP bagi tujuan memanggil tender di masa akan datang.
Pada 28 Feb lepas, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah bahawa kerajaan Pulau Pinang tetap memasukkan projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu dalam dokumen RFP, walaupun kajian pembinaan projek itu dijangka menghadapi kesukaran.
Mengenai tanah milik kerajaan Pulau Pinang iaitu Lot 702, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata seorang kenalan Lim iaitu mendiang Datuk Ewe Swee Kheng, memaklumkan kepadanya bahawa Lim meminta beliau untuk berhubung dengannya bagi membincangkan mengenai tanah tersebut.
“Lim meminta Ewe menghubungi saya bagi mendapatkan komitmen daripada saya, sebab tanah tersebut akan diberikan kepada saya,” katanya dan menambah tanah tersebut diberikan pada 2015.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.
-- BERNAMA