AM

PROJEK TEBATAN BANJIR DI KELANTAN PERLU DISEGERAKAN - PM ANWAR

12/04/2025 03:52 PM

BACHOK, 12 April (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menyegerakan projek tebatan banjir di Kelantan, bagi mengelak masalah banjir saban tahun yang menjejaskan kehidupan rakyat negeri itu.

Perdana Menteri berkata ini termasuk melihat kepada beberapa kaedah baharu untuk bukan sahaja menangani masalah banjir, tetapi juga isu ketiadaan air apabila tiba musim kemarau.

“Kelantan telah tetapkan beberapa projek utama tahun ini, saya putuskan supaya projek tebatan banjir yang mengikut fasa kerana belanjanya sangat tinggi patut disegerakan, kerana kita tidak sanggup melihat saban tahun, kerajaan silih berganti, Kerajaan Persekutuan pun begitu rupa, tetapi keadaan banjir tak terkawal.

“Sebab itu saya meminta Petra (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air), Kementerian Ekonomi dan (Kementerian) Kewangan melihat beberapa kaedah baharu. Negeri ini kadang-kadang airnya melimpah, jenuh banjir, mai bulan-bulan berikut, kering kontang air tak ada.

“Allah berikan kita kekuatan, ikhtiar, teknologi, apa air melimpah itu tidak boleh disimpan untuk musim kemarau? Tentu boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri (MPN) di Kota Bharu, dekat sini bersama Menteri Besar, yang disifatkan sebagai satu pendekatan baharu diambil Kerajaan MADANI, bagi mendengar dan cuba menyelesaikan isu-isu dihadapi setiap kerajaan negeri dalam setiap kunjungan beliau.

Mengulas lanjut mengenai projek tebatan banjir yang menjadi antara projek utama bagi Kerajaan Negeri Kelantan, Anwar berkata selain pendekatan baharu bagi menyegerakan projek itu, urusan pengambilan tanah harus diselesaikan kerajaan negeri dengan lebih cepat.

“Dalam mesyuarat tadi pun, kita ada menyenaraikan beberapa projek lain yang harus disegerakan,” kata beliau.

Anwar dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kita ada sedikit sebanyak perbezaan, tetapi kerjasama untuk angkat martabat negeri dan negara, kerjasama untuk menyantuni masalah rakyat, yang miskin, yang terbiar, yang terpaksa menghadapi banjir dan kemarau, itu mesti diselesaikan.

“Dan ini bukan agenda parti tetapi negara,” tegasnya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan