TAWAU, 13 April (Bernama) -- Penemuan beberapa bangkai gajah pygmy Borneo baru-baru ini di sini, dipercayai disebabkan wujudnya permintaan dalam pasaran yang mendorong pemburu haram mendapatkan gading haiwan berkenaan kerana tawaran harga yang tinggi.
Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Samasuddin Yusop berkata bagi menangani masalah itu Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia membantu kerajaan memberi kesedaran kepada komuniti di kawasan itu untuk melindungi spesies terancam berkenaan daripada pupus akibat pemburuan haram.
"Apa yang berlaku hari ini pastinya ada kaitan dengan soal penawaran dan permintaan, pasti ada permintaan baik di luar sana berkaitan gading gajah, sebab itu pemburu gajah berusaha mendapatkan gading kerana harga ditawarkan lumayan.
"Pihak berkuasa juga perlu memantau serta bertindak membanteras kegiatan pemburuan gading ini apatah lagi Kalabakan ini berada di sempadan," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Kalabakan di sini hari ini.
Samasuddin berkata beliau juga berhubung dengan pakar di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS bagi membantu masyarakat di kawasan Kalabakan memberi pendidikan awal, pendedahan serta penjelasan kepada setiap lapisan komuniti, bermula di sekolah rendah dan menengah mengenai pentingnya perlindungan terhadap hidupan liar itu.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta juga perlu duduk semeja dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) bagi mencari penyelesaian untuk menangani isu pencerobohan gajah ke kawasan ladang, menyebabkan kerugian kepada pengusaha ladang.
Januari lepas, bangkai gajah tanpa kepala dan kaki ditemukan berhampiran Maliau Basin di Kalabakan sebelum bangkai gajah kedua tanpa kepala ditemukan awal bulan ini.
KePKAS turut menawarkan wang ganjaran RM10,000 kepada individu yang memberi maklumat berkenaan pembunuhan haiwan berkenaan.
Gajah pgymy Borneo ialah spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 yang memperuntukkan hukuman berat, termasuk denda dengan jumlah besar, selain penjara jika sabit kesalahan jenayah terhadap hidupan liar yang dilindungi.
Ketika ini, populasi gajah pygmy Borneo di Sabah dianggar antara 1,500 hingga 2,000 ekor, menjadikannya hidupan liar yang semakin diancam kepupusan.
-- BERNAMA