TAIPING, 13 April (Bernama) -- Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan bertemakan “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” yang akan diadakan di Sarawak bulan hadapan, memberi penekanan kepada sistem pendidikan negara yang lebih baik.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata selain enam inisiatif yang diumumkan kerajaan sebelum ini dalam usaha memperkasakan guru, pihaknya turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan di peringkat paling kecil iaitu sistem persekolahan dalam bilik darjah.
“Reformasi sekolah ini mesti diterajui oleh para guru dan pentadbir, untuk memastikan bahawa apa yang sedang kita laksanakan ketika ini benar-benar memberikan kesan dan impak kepada pendidikan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Gerakan Massa #terimakasihcikgu Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.
Sementara itu, Azman dalam sidang media kemudiannya berkata harapan Kementerian Pendidikan kepada kira-kira 430,000 guru yang sedang berkhidmat di 10,236 buah sekolah di seluruh negara, dapat diaplikasikan dalam gerak kerja dan peranan golongan pendidik untuk membangunkan anak-anak didik.
“Ini juga merupakan harapan besar daripada seluruh masyarakat, kerana di peringkat sekolah adalah permulaan untuk membangunkan pendidikan anak-anak kita yang berjumlah 5.2 juta ini.
“Ia merupakan tanggungjawab golongan pendidik untuk menggilap anak-anak yang holistik sifatnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Gerakan Massa, Azman berkata pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang dua hari program itu berlangsung.
Beliau berkata antaranya Program Larian Sihat yang disertai kira-kira 5,000 peserta, siri wacana, bicara naratif Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), forum pendidikan yang melibatkan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Sektor Swasta (PIBKS) seluruh negara, serta pelbagai pameran di 62 reruai pempamer.
“Gerakan Massa #terimakasihcikgu ini merupakan program untuk menyemarakkan Sambutan Hari Guru yang matlamatnya seluruh masyarakat menghargai dan memberi pengiktirafan kepada kumpulan pendidik atas khidmat bakti dan sumbangan besar mereka kepada pembangunan pendidikan negara.
“Selain itu, kita mahukan supaya kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya melibatkan komuniti, ibu bapa serta pelbagai pihak lagi untuk menghargai kalangan guru ini akan dapat terus tingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Gerakan Massa #terimakasihcikgu merupakan sebuah inisiatif yang dilancarkan oleh KPM sejak 2018, sebagai inisiatif untuk menghargai jasa guru-guru di seluruh negara dan telah diteruskan setiap tahun dengan pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta.
Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya peranan guru dalam membentuk masa depan anak-anak bangsa Malaysia.
Selain itu, kempen ini juga bertujuan untuk menyanjung, menghargai dan mengiktiraf jasa guru melalui penglibatan dan kebersamaan ibu bapa, komuniti, serta pihak swasta sebagai rakan strategik dalam dunia pendidikan.
-- BERNAMA