TAPAH, 11 April (Bernama) -- Pakej pelancongan ‘jejak kopi’ yang dikenali Coffee Trails of Perak bukan sahaja mempromosikan industri kopi tempatan, malah memberi ruang kepada usahawan kecil memperkenalkan produk mereka ke pasaran lebih luas.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata program itu merupakan pendekatan kreatif dalam memperkenalkan Perak melalui budaya minum kopi yang semakin menjadi gaya hidup masa kini, khususnya dalam kalangan belia.
“Ia bukan sahaja mempromosikan kopi sebagai produk pelancongan, malah memperkukuh ekonomi komuniti setempat yang terlibat dalam penghasilan kopi, pengoperasian kafe dan juga ladang kopi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Digital Perak: Pelancongan Pintar dan majlis penyerahan bahan promosi pakej Coffee Trails Of Perak di Taman Tasik Temoh di sini hari ini.
Kerajaan negeri melalui Tourism Perak akan menerbitkan naskhah jejak kopi yang menghimpunkan 80 kedai kopi autentik dari seluruh negeri ini sebagai panduan kepada pelancong, selain mempromosikan pakej berkenaan di laman web rasmi Tourism Perak dan Tourism Malaysia.
Dalam pada itu, pemilik Kek dan Kopi by Deewa Deewi, Nurasyikin Jamaludin, 36, berkata inisiatif berkenaan membuka peluang besar kepada usahawan tempatan khususnya yang sedang membina jenama dan mencari pasaran baharu.
“Sebelum ini, kami banyak bergantung kepada media sosial tetapi program ini memberi peluang untuk kami bertemu sendiri dengan pelanggan khususnya pelancong termasuk yang belum pernah kenal produk kami,” katanya.
Bagi pemilik jenama KOPIJA, Noor Hafizah Che Hassan, 37, berkata penglibatan dalam program berkenaan membantu memperkenalkan produk kopinya kepada masyarakat di daerah dan negeri lain.
“Bila orang tengok kita terlibat dengan program pelancongan, mereka makin kenal. Ia macam satu bentuk iklan percuma untuk kita,” katanya sambil menambah hasil jualannya semakin meningkat selepas terlibat dalam program berkenaan.
Sementara itu pada majlis sama, Saarani mengumumkan peruntukan tambahan RM150,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM300,000 bagi menaik taraf kemudahan awam di Taman Tasik Temoh termasuk pembinaan gazebo dan kawasan refleksologi susulan peningkatan jumlah pengunjung.
-- BERNAMA