AM

KPDN PERAK SITA 1,839 TONG LPG TANPA PERMIT DI TELUK INTAN

11/04/2025 02:37 PM

IPOH, 11 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 1,839 unit tong gas petroleum cecair (LPG) yang disyaki disimpan tanpa permit bernilai RM183,318.20 dalam satu serbuan di sebuah stor simpanan di Teluk Intan semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan terbabit berdasarkan risikan dan pemantauan selama seminggu dilakukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan. 

“Hasil pemeriksaan mendapati, premis dimiliki lelaki warga tempatan berumur 42 tahun itu dijadikan stor bagi menyimpan 1,325 unit tong LPG pelbagai jenama serta 514 unit tong kosong LPG pelbagai jenama.

“Pemilik stor itu didapati gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa. 

Beliau berkata tindakan tegas akan dilakukan pihaknya jika terdapat mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang kawalan, khususnya di Perak.

Masyarakat juga disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat berhubung aktiviti salah laku ini.

“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada KPDN Perak melalui portal e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN,” katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan