KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan terus memantau penggunaan media sosial sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bagi memastikan ia tidak disalahgunakan untuk menyebarkan berita palsu, bahan berunsur fitnah serta kandungan berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menasihati semua pihak untuk berkempen secara bertanggungjawab dengan mengelak daripada memainkan isu sensitif.
“Saya nasihatkan untuk semua berkempen dengan baik dengan mengelak daripada menabur fitnah ataupun menggunakan elemen 3R dalam kempen terutama dalam media sosial kerana kita ada keupayaan untuk mengesan mereka yang menghantar mesej dan komen.
“Malah kita juga dengan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa 11 Feb lepas, sekiranya seseorang itu didapati bersalah mengikut Seksyen 233 maka dia boleh didenda sehingga RM500,000, jumlahnya sangat besar. Jadi saya harap ini akan menjadi peringatan supaya kita mengelak daripada menabur fitnah sepanjang kempen dan pada setiap masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di sini malam ini.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Mengulas mengenai calon BN, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata Mohamad Yusri mempunyai peluang cerah untuk meraih kemenangan sekali gus mempertahankan kerusi itu.
“Saya telah bertemu dengan calon beberapa hari yang lalu dalam lawatan ringkas ke Ayer Kuning dan saya lihat beliau seorang yang bukan hanya berpengalaman dan berpendidikan. Saya lihat peluang setakat ini cerah tapi perlu diusahakan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya pada majlis itu memberi jaminan bahawa pembangunan pesat yang dirancang terutamanya di kawasan Lembah Pantai tidak akan mengetepikan hak mana-mana pihak.
Beliau berkata dengan adanya penggubalan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB), tiada pihak yang akan tertindas.
“Rang Undang-Undang PSB ini takkan ketepikan hak mana-mana pihak seperti yang dituduh...ia takkan berlaku. Malah dengan adanya Akta PSB ini, hak mereka yang terlibat akan terjamin dan terbela.
“Tanpa kira kelas agama kaum atau sebarang perbezaan latar belakang...kita akan bersikap adil pada semua pihak,” katanya.
Menurut Fahmi, pembangunan di Lembah Pantai akan melibatkan pembinaan lima stesen Transit Aliran Massa (MRT) antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya, Simpang Pantai Permai dan KTM Pantai Dalam.
Katanya sebagai Ahli Parlimen, beliau berusaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan berazam meningkatkan prestasi kepada rakyat terutama bagi penduduk Lembah Pantai.
-- BERNAMA